Hukum dan perundangan Islam

Rencana–rencana utama: Syariah dan Fiqh

Syariah (secara harfiah: "laluan menuju ke tempat berair") merupakan hukum Islam yang dibentuk oleh kesarjanaan tradisi Islam. Dalam Islam, Syariah ialah penyataan kehendak ketuhanan, dan "membentuk satu sistem kewajipan terhadap seorang Muslim oleh sebab kepercayaan agamanya".[51]

Hukum Islam meliputi semua aspek kehidupan, daripada hal negara, seperti pentadbiran dan hubungan luar, kepada isu kehidupan seharian. Al-Qur'an menakrifkan hudud sebagai hukuman untuk lima jenayah khusus: berzina, tuduhan zina, meminum arak, mencuri dan merompak. Al-Qur'an dan Sunnah juga mengandungi hukum pewarisan, perkahwinan, dan pembalasan untuk kecederaan dan bunuh, serta peraturan untuk puasa, sedekah dan solat. Bagaimanapun, arahan dan larangan ini mungkin agak umum, jadi tahap amalannya berbeza-beza. Para ulama telah membentuk sistem hukum berasaskan peraturan-peraturan ini dan tafsiran mereka.[52]

Fiqh, atau "perundangan", ditaksirkan sebagai pengetahuan peraturan amali agama. Cara yang digunakan pakar hukum Islam untuk memperoleh hukum dikenali sebagai usul al-fiqh ("teori hukum", atau "prinsip fiqh"). Menurut teori hukum Islam, undang-undang Islam mempunyai empat sumber asas, iaitu mengikut keutamaan: Al-Qur'an, Sunnah, kesepakatan ulama Muslim (ijma'), dan pemikiran beranalogi (qiyas). Untuk pakar hukum Islam awal, teori kurang penting berbanding aplikasi pragmatik hukum ini. Pada abad ke-9, Imam al-Shafi'i memberikan asas teori perundangan Islam dengan mengekodkan prinsip fiqh (termasuk empat sumber asas) dalam bukunya ar-Risālah.[53]

Agama dan negara

Hukum Islam tidak membezakan "hal masjid" dan "hal negara"; fungsi ulama sebenarnya adalah sebagai tokoh perundangan dan ahli teologi. Secara amalinya, pemerintah Islam kerap kali melangkaui bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan mewujudkan sistem selari "mahkamah pengaduan", yang mana dikuasai mereka. Apabila dunia Islam mula bertembung dengan idea sekular Barat, masyarakat Muslim bergerak balas dengan cara berbeza. Turki telah diperintah sebagai negara sekular sejak reformasi Mustafa Kemal Atatürk. Manakala, Revolusi Iran 1979 menggantikan rejim agak sekular dengan Republik Islam yang diketuai oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini.[54]

Kehidupan keluarga

Lihat juga: Wanita dalam Islam

Unit asas dalam masyarakat Islam adalah keluarga, dan Islam mentakrifkan kewajipan dan hak ahli keluarga. Ayah dilihat bertanggungjawab secara kewangan untuk keluarganya, dan wajib untuk memenuhi keperluan mereka. Pembahagian warisan ditentukan dalam al-Qur'an, yang menyatakan bahawa kebanyakannya adalah untuk keluarga terdekat, manakala sebahagian diasingkan untuk pembayaran hutang dan wasiat. Bahagian wanita dalam pewarisan lazimnya separuh dari lelaki yang sama taraf.[55] Perkahwinan menurut Islam merupakan kontrak sivil yang terdiri dari tawaran dan penerimaan antara dua pihak yang layak dengan kehadiran dua saksi. Pengantin lelaki diperlukan untuk membayar mahar kepada pengantin perempuan, seperti yang disyaratkan dalam kontrak.[56]

Seorang lelaki boleh mempunyai hingga empat isteri jika si suami percaya dia boleh melayani mereka dengan adil, manakala seorang perempuan hanya boleh mempunyai satu suami. Di kebanyakan negara Muslim, proses penceraian dalam Islam dikenali sebagai talaq, yang lazimnya dilakukan suami dengan menyebut kata "cerai".[57] Wanita dikehendaki memakai tudung dan menurut aurat, namun para sarjana tidak sependapat sama ada terdapat dalil Qur'an terhadap amalan tradisional Islam seperti purdah dan burqa.

Bermula pada abad ke-20, reformis sosial Islam bertelagah terhadap amalan ini dan amalan lain seperti poligami, dengan kejayaan berbeza. Pada masa sama, ramai wanita Islam cuba menyelaraskan tradisi dan kemodenan dengan menggabungkan kehidupan aktif dengan kesederhanaan luaran. Sesetengah kumpulan Islamis seperti Taliban pula cuba untuk meneruskan peraturan tradisional seperti yang digunakan kepada wanita.[58]

Pakar hukum

Rencana–rencana utama: Ulama, Syeikh, dan Imam

Terdapat banyak istilah dalam Islam untuk merujuk kepada mereka yang pakar dalam hukum Islam. Lazimnya para sarjana ini terpelajar dalam beberapa bidang pengajian Islam. Secara umumnya, istilah ulama digunakan untuk merujuk kepada mereka yang telah menyempurnakan latihan dan pengajian sains Islam beberapa tahun, seperti mufti, qadi, faqih atau muhaddith. Sesetengah Muslims turut menganggap mullah, imam dan mawlawi—yang cuma mencapai tahap terendah kesarjanaan Islam sebagai ulama; manakala yang lain menganggap mereka perlu mencapai taraf lebih tinggi. Ada juga Muslim yang mengamalkan ijtihad di mana mereka tidak menerima kewibawaan ulama.[59]

Adab dan pemakanan

Rencana–rencana utama: Adab dan hukum pemakanan Islam

Banyak amalan jatuh dalam kategori adab, atau etika Islam. Ini termasuk menegur sapa yang lain dengan "as-salamu `alaykum" ("selamat sejahtera atas kamu"), menyebut bismillah ("dengan nama Allah") sebelum makan, dan menggunakan hanya tangan kanan untuk makan dan minum. Amalan kebersihan Islam secara besarnya dibahagikan kepada kategori kesihatan dan kebersihan peribadi. Bersunat bagi lelaki diamalkan secara meluas. Upacara pengebumian termasuk solat jenazah serta memandikan dan mengkafankan mayat, dan kemudian ditanam dalam kubur. Muslim mempunyai batasan dalam pemakanan mereka. Makanan haram termasuklah produk khinzir, darah, bangkai dan alkohol. Semua daging harus diperoleh dari haiwan yang disembelih dengan nama Allah oleh seorang Muslim, atau Ahli Kitab, dengan pengecualian haiwan buruan dan haiwan laut. Makanan yang dibenarkan untuk Muslim dikenali sebagai makanan halal.[60]

Ketenteraan

Rencana–rencana utama: Jihad dan Peraturan perang dalam Islam

Jihad bermaksud "berusaha atau berjuang" (pada jalan Allah) dan dianggap "rukun Islam keenam" oleh minoriti Muslim Sunnah.[61] Dalam makna yang lebih luas, jihad secara klasiknya ditafsirkan sebagai "berusaha sedaya upaya menggunakan kuasa, ikthiar atau kebolehan diri dalam melawan benda yang tidak dibenarkan." Bergantung pada jenis benda yang menjadi lawan, sama ada seorang musuh nyata, syaitan, atau suatu aspek dalam diri sendiri, beberapa kategori berlainan jihad dapat diertikan.[62] Jihad juga merujuk kepada berusaha untuk memiliki kesempurnaan keagamaan dan moral.[63] Namun jihad apabila digunakan tanpa sebarang penerang difahami merujuk kepada aspek ketenteraan.[64][65] Sesetengah pihak berkuasa Muslim, terutamanya di kalangan Syi'ah dan Sufi, membezakan antara "jihad lebih besar", yang berkaitan dengan kesempurnaan rohaniah diri, dan "jihad kecil", ditakrifkan sebagai peperangan.[66]

Di dalam fiqh, jihad lazimnya dianggap bermaksud penggunaan ketenteraan terhadap penempur bukan-Muslim dalam pertahanan atau pengembangan ummah. Tujuan terakhirnya diperdebatkan, sesetengah mendakwa ia cuma sebagai pertahanan dan pencegahan, manakala yang lain mendakwa matlamatnya ialah menyejagatkan Islam. Jihad merupakan satu-satunya bentuk peperangan yang dibenarkan dalam Islam dan mungkin diisytiharkan terhadap orang murtad, pemberontak, perompak, kumpulan ganas, dan ketua atau negeri yang menindas Muslim atau menghalang dakwah.[67][68] Kebanyakan Muslim kini mentafsirkan jihad sebagai hanya suatu bentuk pertahanan perang: jihad luaran termasuk berjuang untuk membuat masyarakat Islam mematuhi norma keadilan Islam.[69]

Dalam kebanyakan keadaan dan untuk kebanyakan Muslim, jihad merupakan tugas kolektif (fardu kifayah): pelaksanaannya oleh sebahagian masyarakat mengecualikan yang lain. Hanya untuk orang yang diberi kuasa, terutamanya raja (imam), jihad menjadi tugas individu. Untuk penduduk lain, ini hanya berlaku dalam kes pengerahan umum.[68] Untuk kebanyakan Syiah, jihad serangan hanya boleh diisytiharkan oleh Imam masyarakat Muslim, dan oleh itu digantung sejak keghaiban Muhammad al-Mahdi pada 868 M.[70]

Rujukan

WikiPedia: Islam http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=b... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2008-07/09/c... http://www.adherents.com/Religions_By_Adherents.ht... http://www.adherents.com/Religions_By_Adherents.ht... http://www.al-shia.com/html/eng/p.php?p=shia'&url=... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/295507/I... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/574006/S... http://www.britannica.com/eb/article-9105852/Islam http://www.cair.com/Portals/0/pdf/The_Mosque_in_Am... http://www.etymonline.com/index.php?term=Islam